KATA ALUAN PENGETUA

Alhamdulillah, saya ingin memanjat kesyukuran kepada Allah s.w.t dengan izin dan kurnia-Nya maka saya dapat merakamkan sepatah dua kata dalam ruang siber Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Melaka ini. Laman Web SMKIJC akan membuka paradigma alam persekolahan seluas-luasnya serata dunia. Para pelayar tapak laman ini akan berpeluang berjengok-jengok warga IJC Melaka dan mengalami keistimewaan-keistimewaan sekolah ini.

Sehubungan itu, konsep Sekolah Berkesan seperti dilaung-laungkan KementerianPendidikan dapat dilihat daripada kegiatan kurikulum dan kokurikulum sekolah ini. Slogan "Cekap dan Tepat" sekolah ini merangkumi usaha-usaha pentadbir dan tenaga pengajar sekolah IJC menanam sifat jatidiri seperti berwawasan, kerajinan, berdikari,semangat bekerjasama, kreatif, dan bertatasusila dalam urusan seharian.

Sebagai salah sebuah "Sekolah Premier" di negara Malaysia, SMKIJC menampakkan diri cemerlang dalam peperiksaan P.M.R., S.P.M dan S.T.P.M. Selain itu, sekolah ini aktif dalam kegiatan berbahasa Inggeris seperti drama (Juara Peringkat Negeri Melaka), Choral Speaking, perbahasan dan kuiz. Puteri-puteri sekolah ini sering menggondol kejuaraan dalam arena renang, badminton, dan gimrama MSSM. Anda mungkin terperanjat mendapat tahu bahawa Pasukan Kompang Puteri sekolah ini merupakan satu-satunya pasukan kompang yang dianggotai perempuan di Melaka. Pasukan Pancaragam sekolah ini juga tidak kurang handal dan lazim dijemput untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis keramaian.

Blok hadapan bangunan lama dan dewan lama menggambarkan ciri-ciri seni binapada tahun 1870-an. Kini, beberapa mural yang dilukis oleh pelajar sekolah ini telah mencantikkan dan menceriakan kawasan sekolah ini. Taman bunga dan Gazebo sertaair terjun rekaan pelajar-pelajar dan tukang kebun berjaya melahirkan suasana yang nyaman dan menenangkan fikiran. Kebersihan sekitar sekolah sentiasa diawasi dan dipelihara agar imej sekolah dijaga.

Kerjasama di antara pelajar, guru, kakitangan sekolah, pihak pentadbir, dan ibu bapa amat erat seperti dapat dilihat dalam kejayaan Program Hamper untuk pelajar miskin, Program Jalur Gemilang (terpanjang di negeri Melaka), Program Perkhemahan untuk Pelajar Lemah dalam pelajaran, Hari Guru, Hari Penyampaian Hadiah, dan Mesyuarat Agung P.I.B.G. Projek-projek kecil-kecilan seperti kutipan derma untuk membantu pelajar miskin membayar yuran peperiksaan, pemberian pakaian seragam sekolah, bantuan makanan serta peralatan sekolah. Ini sejajar dengan singkatan nama I: Innovative, J : Judicious, dan C : Caring.

Semoga para pelayar laman web SMKIJC akan dapat bersama-sama berkongsi pengalaman dan detik-detik sejarah sekolah ini. Sekian. Terima Kasih.
 

Puan Rahimah Bte Hj. Ghazali,

Pengetua,

Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Melaka.

 

 

[Balik ke Index]